
JITRA, KEDAH | 15 SEPTEMBER 2026 – Seminar SMART UNION 2026 anjuran PACSU Cawangan Kedah telah melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama tiga hari dua malam bertempat di Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Jitra, Kedah.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YDH Datuk SAC A.A Anbalagan, Ketua Cawangan Khas Kedah. Hadir sama YDH ACP Ahmad Sahrin bin Hussain, Ketua Jabatan Pengurusan Kedah; YDH Supt. Mohd Radzi bin Abdul Rahim, KPD Kubang Pasu; Ybhg. Tuan Haji Ahmad Sabri bin Haji Mohamad, Pengarah IAB Cawangan Utara; YBrs. Encik Anuar bin Mamat, Presiden PACSU Malaysia DAN YBrs. Encik Mohd Rusydi bin A. Rashid, Pengerusi PACSU Cawangan Kedah.
Seminar yang melibatkan kepimpinan dan Ahli Jawatankuasa kesatuan ini memberi penekanan terhadap keperluan memperkukuh keupayaan pengurusan kesatuan seiring dengan perkembangan teknologi digital, khususnya melalui penerapan Kecerdasan Buatan (AI).
Sepanjang seminar, para peserta telah diberikan pendedahan berkaitan pengenalan AI dalam pengurusan kesatuan, automasi dokumen dan surat rasmi, pengurusan serta analisis data, tadbir urus dan integriti berasaskan teknologi, di samping penyediaan hala tuju transformasi digital kesatuan.
Selain pengisian berbentuk ilmu dan kemahiran, para peserta turut menyertai aktiviti team building di Teratak Al-Qarni, Jitra. Aktiviti yang melibatkan permainan paintball dan memanah ini bukan sekadar mencetuskan suasana santai dan menyeronokkan, malah menjadi platform untuk memperkukuh semangat kerjasama, komunikasi, strategi dan kepercayaan antara satu sama lain.
Semangat berpasukan yang diterapkan melalui aktiviti ini selari dengan aspirasi PACSU dalam membentuk barisan kepimpinan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan kemahiran, malah mampu bekerjasama secara efektif dalam melaksanakan tanggungjawab serta memperjuangkan kepentingan ahli.
Penganjuran Seminar SMART UNION 2026 diharap menjadi pemangkin kepada transformasi digital PACSU, ke arah membentuk sistem pengurusan yang lebih cekap, sistematik, responsif dan berdaya saing. Dalam mendepani era teknologi, AI perlu dimanfaatkan secara beretika, berintegriti dan bertanggungjawab. Teknologi hanyalah alat, manakala kekuatan sebenar sesebuah organisasi tetap terletak pada kebijaksanaan, kerjasama dan komitmen warga kerjanya.
Justeru, gabungan pengisian ilmu, teknologi dan aktiviti team building sepanjang seminar ini diharap dapat memperkukuh lagi kesatuan dalam kalangan warga PACSU Cawangan Kedah. PACSU Cawangan Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama serta sokongan dalam menjayakan Seminar SMART UNION 2026.
PACSU – KEDAH



