PENGARAH PENGURUSAN MENYANTUNI PERSATUAN PEGAWAI POLIS DAN KESATUAN PEGAWAI AWAM POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)

Bukit Aman, 16 Januari 2025 – YDH CP Dato’ Abdul Aziz bin Abdul Majid, Pengarah Pengurusan telah berbesar hati membuka ruang dan melapangkan masa menyantuni Persatuan Pegawai Polis dan Kesatuan Pegawai Awam PDRM dalam satu perjumpaan yang dianjurkan Cawangan Persatuan di Bilik Mesyuarat Persada, Tingkat 30, Menara 2 di sini hari ini.
Perjumpaan ini adalah julung-julung kali diadakan demi memperkukuhkan hubungan di antara Persatuan dan Kesatuan PDRM, di samping mencapai kesefahaman dalam memperkembangkan peranan Persatuan bagi membantu pekerja dalam ekosistem organisasi PDRM. Hadir bersama lima Presiden Persatuan dan Kesatuan Utama PDRM iaitu ACP Suffian bin Sulaiman, Presiden PPKP, SI Abdul Rashid bin Ali, Presiden PPRPD, Encik Anuar bin Mamat, Presiden PACSU, Encik Mohd Shukri bin Tahir, Presiden SPACSU dan Encik Sapawi bin Hj Hamdan, Presiden SPOCSU.

Selain itu, hadir bersama adalah Naib Pengerusi PPKP (B), Insp Muhammad Amin bin Fadzil dan seramai lebih kurang 40 orang perwakilan Persatuan dan Kesatuan PDRM yang lain. Turut serta di dalam perjumpaan ini adalah YDH DCP Dato’ Ts. Azizee bin Ismail, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), YDH SAC Datuk Mohd Sukri bin Kaman, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) dan DSP Nor Safarina binti Zulkifli, Pegawai Turus Persatuan.

Intipati program diselitkan dengan taklimat pengenalan Persatuan PDRM oleh PT Persatuan dan kemudiannya disusuli dengan taklimat aktiviti tahun 2024 serta hala tuju Persatuan & Kesatuan PDRM oleh ACP Suffian bin Sulaiman, Presiden PPKP mewakili Persatuan Pegawai Polis PDRM dan Encik Anuar bin Mamat, Presiden PACSU mewakili Kesatuan Pegawai Awam PDRM.
Impaknya, program ini telah menjadi medium sesi soal kenal antara Persatuan & Kesatuan PDRM dengan YDH Pengarah Pengurusan yang baharu agar peranan Persatuan mampu diperkasakan demi memperkukuhkan ikatan hubungan pekerja dan organisasi.
,