Ipoh, 25 Oktober 2024 – Bertempat di Auditorium Pangkalan Latihan Unit Udara PDRM, PACSU Perak telah menganjurkan ceramah agama bertajuk ‘Rukhsah Solat Bagi Orang Yang Bermusafir’.
Ceramah telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu YBhg. Ustaz Mohd Suhaimi Bin Mohd Amin daripada Ketua Unit Agama Bahagian Integriti Dan Pematuhan Standard IPD Batu Gajah.
Antara intipati ceramah yang dapat dikongsikan adalah :
Maksud Rukhsah
- Allah S.W.T berfirman : “Dan Allah tidak menjadikan dalam urusan agama itu perkara yang menyulitkan ke atas kamu.” (Al Hajj : 78). Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah menyukai rukhsah-Nya dilaksanakan sebagaimana Dia membenci maksiat-Nya dilakukan (Riwayat Ahmad).
- Rukhsah dari segi bahasa : kemudahan dan keringanan.
- Rukhsah dari segi istilah : hukum berlawanan dengan hukum yang asal (azimah) disebabkan adanya keuzuran tertentu.
Solat Jamak Dan Qasar
Solat Qasar : Memendekkan bilangan rakaat
Solat Jamak : Menghimpunkan dua solat fardhu tunai dalam satu waktu.
Solat Jamak
Jamak Taqdim – Menunaikan sembahyang yang kedua dalam waktu yang pertama.
Jamak Takhir – Melewatkan sembahyang pertama dan ditunaikan pada waktu yang kedua.
Solat Yang Boleh Dijamakkan:
- Solat Zohor dengan Solat Asar.
- Solat Maghrib dengan Isyak
Kesimpulan
Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita mestilah menunaikan solat walau apa jua keadaan kerana Allah SWT telah memberi kemudahan kepada kita untuk menunaikan solat. Oleh yang demikian, solatlah walau apa jua keadaan. Janganlah kita merasa susah untuk menunaikan solat.
Solat merupakan tiang agama. Dari solatlah kita dapat melatih diri supaya melalukan perintah Allah dan meninggalkan kemungkaran. Seperti yang sering diperkatakan, solatlah kamu sebelum kamu disolatkan. Ini telah menunjukkan betapa pentingnya solat dalam kehidupan umat Islam.
Turut hadir pengerusi PACSU Perak iaitu Sdra Mohammad Zameer bin Mohamed Akaram, Setiausaha Sdri Rosdiah binti Safri, barisan ahli-ahli jawatankuasa dan ahli-ahli PACSU Cawangan Perak.