BUKIT AMAN, 10 Julai 2024 – Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa PACSU Cawangan Bukit Aman kali ke-73 telah berlangsung dengan penuh semangat di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman. Majlis yang bermula pada jam 8.00 pagi ini turut menyaksikan kiraan pengundian bagi pemilihan Pegawai dan Ahli Jawatankuasa PACSU Cawangan Bukit Aman untuk sesi 2024 – 2027.
Sejurus tiba, ahli-ahli PACSU mendaftar di kaunter yang disediakan, dan setiap ahli yang hadir menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan. Kehadiran ahli yang ramai menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap persatuan ini.
Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Pengarah Pengurusan, YDH CP Dato’ Sri Azmi bin Abu Kassim pada sebelah pagi.
Setelah selesai majlis perasmian, proses kiraan pengundian bagi pemilihan Pegawai dan Ahli Jawatankuasa PACSU Cawangan Bukit Aman untuk sesi 2024 – 2027 dijalankan. Kiraan pengundian ini berjalan dengan lancar, dan keputusan diumumkan pada hari yang sama, termasuk pengumuman calon yang berjaya memenangi jawatan Pengerusi PACSU Cawangan Bukit Aman bagi sesi 2024-2027.
Mesyuarat diteruskan pada sebelah tengah hari dengan perbincangan mengenai isu-isu penting yang melibatkan kebajikan dan masa depan ahli PACSU. Sepanjang mesyuarat, suasana penuh harmoni dan semangat kerjasama jelas terpancar di kalangan ahli yang hadir.
Majlis diakhiri dengan cabutan bertuah dan jamuan makan tengah hari yang disediakan untuk semua ahli. Kejayaan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa kali ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah PACSU Cawangan Bukit Aman, dan diharapkan kepimpinan baru yang dipilih dapat terus memacu persatuan ini ke arah kecemerlangan pada masa hadapan.