PERUTUSAN PRESIDEN PACSU SEMPENA AIDILFITRI 2024

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu ‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan hidayah dan keizinan-Nya jua, pada tahun ini kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri yang mulia dalam suasana harmoni dan sejahtera.

Hari ini kita menyambut Hari Raya yang dinamakan sebagai idulfitri atau Hari Raya Fitrah kerana manusia kembali kepada fitrahnya yang asal iaitu suci, bersih dan tulus. Kesucian ini lahir setelah kita dibersihkan dengan puasa dan pelbagai ibadat di bulan Ramadan selama sebulan dengan pelbagai latihan menundukkan hawa nafsu.

Syawal bukan hanya semata-mata untuk kegembiraan, bahkan lebih utama mendapat keberkatan dan keredaan Allah Allah Subhanahu Wata’ala. Bertakbir, meneruskan qiyamullail, mandi sunat, makan sebelum Solat Aidilfitri, menunaikan Zakat Fitrah dan mendirikan Solat Sunat Aidilfitri adalah antara amalan yang termasuk di dalam ibadah selagi dilaksanakan berdasarkan sunah Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam. Menzahirkan kegembiraan pada Aidilfitri membolehkan umat Islam beroleh pahala dengan syarat ia menjaga syariat Islam.

Saya menyeru kepada semua agar kita bersama-sama tingkatkan rasa kesyukuran dan memperkasakan hubungan persaudaraan dengan ikatan kasih sayang di antara Pegawai Awam, Ahli – Ahli PACSU kerana ia adalah asas kekuatan dan kejayaan di dalam sebuah organisasi serta menutup segala ruang perpecahan.

Pada kesempatan ini juga, saya mewakili pegawai kanan PACSU Malaysia dengan penuh rasa tawaduk, menyusun sepuluh jari memohon kemaafan zahir dan batin atas segala kesalahan dan apa jua kekhilafan.

Akhir kalam, saya berdoa semoga Allah Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan kesejahteraan ke atas seluruh Ahli PACSU serta umat Islam untuk menyambut perayaan ini dengan penuh rasa kegembiraan bersama yang tersayang. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih

“BERSATU MEMBANTU BERSAMA PACSU”

ANUAR BIN MAMAT
PPN, PPW, PB, PK, PPC
PRESIDEN PACSU MALAYSIA

1 Syawal 1445 H PERUTUSAN PRESIDEN PACSU

,