KUALA NERUS: Seramai 1.6 juta penjawat awam menuntut keadilan daripada kerajaan dengan melaksanakan segera Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) berikutan terkesan dengan kenaikan kos saraan hidup.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, penjawat awam mengharapkan kerajaan dapat meluluskan dua tahap Gaji Tahunan (KGT) dalam tempoh segera.
Menurutnya, perkara tersebut mengambil kira pendapatan semasa penjawat awam yang dilihat tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup semakin meningkat.
Malah, katanya, CUEPACS sebelum ini juga merayu kerajaan melaksanakan segera tuntutan menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan gaji minimum penjawat awam RM1,800 serta sistem saraan baharu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
“Tiga tuntutan yang dikemukakan CUEPACS itu penting dalam membantu penjawat awam yang kini terkesan akibat kenaikan harga barang,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.
Adnan berkata, pelaksanaan gaji minimum itu akan memudahkan kerajaan mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan bagi mencapat matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Mengenai cadangan sistem saraan baharu, jelasnya, Sistem Saraan Malaysia (SSM) sedia ada telah dilaksanakan sejak kira-kira 20 tahun dan dilihat tidak berkesan dalam membantu penjawat awam dalam situasi masa kini.
“CUEPACS mengharapkan Perdana Menteri mengumumkan tiga tuntutan itu pada Majlis Perhimpunan Perdana Penjawat Awam yang dijangka diadakan Ogos depan,” katanya.
Turut bersama-sama hadir pada majlis berkenaan adalah Sdra. Mohd Fadli bin Mohd Noor (Naib Presiden PACSU merangkap Timbalan Setiausaha Agung 1 CUEPACS), Sdra. Suffian bin Ngah (Pengerusi PACSU Cawangan Terengganu) dan barisan Ahli Jawatankuasa PACSU Cawangan Terengganu.