Kuala Lumpur, 28 Julai 2020 : Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Bilangan 2/2020 yang dipengerusi oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor telah berlangsung di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan isu-isu semasa dalam menjaga kebajikan dan kepentingan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dalam ucapannya, Dato’ Pahlawan Mazlan menasihatkan agar wakil-wakil persatuan dapat mengamalkan langkah-langkah penjimatan tuntutan kewangan, sebagai tanda keprihatinan warga PDRM terhadap beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan untuk memerangi wabak COVID-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas akibat pandemik tersebut.
Selain itu, beliau turut mengingatkan agar ahli-ahli mesyuarat yang hadir terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam membendung penularan pandemik COVID-19 dengan memperkemas dan mempertingkatkan lagi amalan normal baharu yang ditetapkan oleh kerajaan.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato’ Huzir Mohamed, Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Abd Rahim Jaafar, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, CP Dato’ Zamri Yahya, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Datuk Saiful Azly Haji Kamaruddin dan wakil-wakil Persatuan PDRM.
PACSU dihadiri oleh Saudara Anuar bin Mamat, Presiden PACSU dan Saudara Mohd Azli bin Suhaimi, Timbalan Setiausaha Agung PACSU.