PENJAWAT AWAM PERLU PATUH SOP PKPB ELAK TINDAKAN TATATERTIB

PRESIDEN CUEPACSKUALA LUMPUR: Penjawat awam perlu menyedari risiko yang mereka perlu tanggung jika melanggar perintah, peraturan dan pekeliling dikeluarkan kerajaan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, penjawat awam yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB dengan melakukan perjalanan rentas negeri untuk menyambut Aidilfitri, tidak terkecuali daripada berdepan tindakan tatatertib.

Perkara itu ditegaskan Presiden CUPACS, Adnan Mat yang mengingatkan semua penjawat awam perlu mematuhi SOP PKPB ditetapkan kerajaan.

“CUEPACS senada dan menyokong sepenuhnya kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman mengenai arahan setiap penjawat awam untuk mematuhi segala peraturan dan SOP di bawah PKPB pada musim perayaan ini.

“Setiap SOP dan larangan rentas negeri untuk pulang ke kampung harus dipatuhi dengan sepenuhnya. Penjawat awam harus sedar dan mengetahui implikasi yang bakal dikenakan sekiranya tidak mematuhi pekeliling atau peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Khairul Adib yang penjawat awam boleh dikenakan tindakan tatatertib jika tidak kembali bekerja selepas Aidilfitri kerana terperangkap di kampung, akibat melanggar larangan rentas negeri dalam tempoh PKP dan PKPB.

Ketua jabatan masing-masing katanya boleh mengenakan tindakan tatatertib pada penjawat awam yang tidak hadir ke pejabat tanpa mengemukakan surat cuti.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman tatatertib seperti amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga tidak layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Adnan berkata, sebagai penjawat awam, mereka perlu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat dengan mematuhi setiap SOP dan peraturan yang dikuatkuasakan di bawah PKPB.

“Janganlah tindakan atau perbuatan yang terlalu mengikut perasaan memberi kesusahan kepada kita kelak. Setiap peraturan yang ditetapkan kerajaan bukan bertujuan menghukum kita, tetapi untuk membawa semula keamanan dan kemakmuran kepada negara,” katanya.

Sumber : BHOnline / Bubur_Durian