Alor Setar, 16/02/2020 – Kejohanan Boling Piala Presiden PACSU Malaysia bagi tahun 2020 telah diadakan dengan meriahnya pada 16/02/2020 bertempat di Aman Central Alor Setar Kedah bermula jam 10.00 pagi. Pasukan PACSU Negeri Sembilan telah menghantar sebanyak dua pasukan terdiri daripada 8 pemain dan 7 AJK yang turut serta untuk memberi sokongan kepada pemain – pemain yang mewakili Negeri Sembilan.
Kejohanan ini dirasmikan oleh Presiden PACSU Malaysia iaitu Sdra Anuar Bin Mamat serta barisan EXCO kanan PACSU yang turut hadir bertanding dalam kategori VIP. Setiap kumpulan adalah terdiri daripada 2 pemain lelaki dan 2 pemain wanita. Kategori yang dipertandingkan termasuklah jatuhan pin individu tertinggi serta jatuhan pin berkumpulan tertinggi.
PACSU Negeri Sembilan telah dinobatkan Naib Juara berkumpulan dengan membawa Piala Pusingan sementara PACSU Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai juara Piala Presiden PACSU Malaysia bagi tahun 2020, manakala PACSU Pahang telah mendapat tempat ketiga.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan ini telah diadakan di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Kedah iaitu YDH DCP Datuk Muhammad Azlee Bin Abdullah. Diharapkan kejohanan ini akan menjadi acara tahunan bagi mengcungkil bakat – bakat baru dalam permainan boling. Terima kasih kepada PACSU Kedah sebagai penganjur kerana telah berjaya merealisasikan kejohanan pada kali ini dengan cemerlang dan gemilang.