SAMBUTAN HARI PEKERJA 2019.

IPOH, 30 APRIL 2019 – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan memberikan perlindungan takaful kemalangan CuepacsPA-Raya secara percuma kepada kira-kira 10,000 penjawat awam sempena sambutan Hari Pekerja 2019.

Presiden CUEPACS, Dato’ Azih Bin Muda berkata, program takaful itu adalah kerjasama MyCuepacsCare dan Zurich General Takaful Malaysia Bhd. (Zurich) yang memberikan perlindungan sehingga RM220,000 sekiranya berlaku kemalangan bermula pada 20 Mei hingga 19 Jun depan semasa perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata, pemberian CuepacsPA-Raya percuma adalah selaras dengan hasrat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)  memastikan setiap penjawat awam memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful.

“Penjawat awam yang hadir ke Sambutan Hari Pekerja CUEPACS pada hari ini dan 2 Mei di sini serta Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 1 Mei akan diberikan CuepacsPA-Raya percuma.

“Risiko berlakunya kemalangan ketika musim perayaan adalah tinggi berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya. Justeru, saya berharap penjawat awam tidak membiarkan diri mereka tanpa perlindungan sewajarnya,”

Beliau berkata demikian pada Seminar Hari Pekerja CUEPACS yang berlangsung di Stadium Indera Mulia.

Hadir sama YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, Tuan A. Sivanesan.

Terdahulu, seminar berkenaan dihadiri lebih 1000 penjawat awam daripada pelbagai agensi dan jabatan seluruh negeri.

Tambah beliau, antara manfaat ditawarkan melalui CuepacsPA-Raya adalah perlindungan untuk kemalangan sebagai penumpang pengangkutan awam atau kenderaan persendirian, pembunuhan, serangan, mogok, rusuhan dan kekacauan awam.

“Kemalangan tidak boleh dijangka, tetapi sebagai penjawat awam mereka boleh merancang bagaimana untuk menghadapi kemalangan itu dengan perlindungan sewajarnya. Diharap usaha ini dapat meningkatkan kesejahteraan warga penjawat awam,” ujar beliau.

 

,