BUKIT AMAN, 23 OKTOBER 2024 – PACSU Cawangan Bukit Aman dengan kerjasama semua Ahli Jawatankuasa (AJK) telah melaksanakan persiapan rapi bagi dua program besar yang berlangsung pada 24 Oktober 2024. Program yang melibatkan Kempen Kesedaran Kanser Payudara dan Taklimat Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini bertempat di Dewan Theatrette, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman.
AJK PACSU Cawangan Bukit Aman telah bergotong-royong sejak awal pagi untuk memastikan segala keperluan teknikal, logistik, dan dekorasi dewan berada dalam keadaan terbaik. Persiapan ini melibatkan penyusunan kerusi dan meja, penyediaan bahan edaran, serta dekorasi bertemakan kesedaran kanser payudara dan profesionalisme perkhidmatan awam.
Bagi Kempen Kesedaran Kanser Payudara, kerjasama erat dengan Hospital KPJ Sentosa Kuala Lumpur memastikan penyediaan ruang untuk pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan tahap gula dan kolesterol, indeks jisim badan, fisioterapi, serta pemeriksaan awal kanser payudara. Ruang pameran juga dihias dengan maklumat berkaitan kanser payudara, bertujuan mendidik peserta yang hadir.
Manakala untuk Taklimat SSPA, persiapan merangkumi penyediaan pentas untuk Saudara Anuar bin Mamat, Presiden PACSU Malaysia. Persiapan ini menunjukkan semangat kerjasama dan dedikasi semua AJK PACSU Cawangan Bukit Aman dalam menjayakan program-program yang bukan sahaja bermanfaat kepada ahli tetapi juga memberi impak positif kepada komuniti.
Dengan persiapan yang rapi ini, kedua-dua program dijangka berlangsung dengan jayanya dan memberikan manfaat berganda kepada ahli PACSU Bukit Aman dalam aspek kesedaran kesihatan dan kefahaman mengenai hak serta faedah perkhidmatan awam.
Pengerusi PACSU Cawangan Bukit Aman dan semua AJK merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam persiapan ini. Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada semua untuk terus bergiat aktif dalam program-program akan datang.