KUALA LUMPUR, 28 OGOS 2024 – Majlis Perjumpaan Ahli Jawatankuasa PACSU Bukit Aman bersama Pasukan Futsal PACSU Bukit Aman dan Pengira Undi PACSU Bukit Aman telah diadakan di Luck Bros Kopi, Kuala Lumpur. Acara yang berlangsung pada jam 1.00 tengahari ini telah berjaya mengumpulkan kehadiran ahli jawatankuasa dan anggota PACSU Bukit Aman untuk sesi ramah mesra dan aktiviti mengeratkan silaturahim.
Majlis ini turut mendapat perhatian istimewa dengan kehadiran Presiden PACSU Malaysia, yang mana beliau mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan para hadirin dan menyampaikan ucapan ringkas yang menekankan pentingnya perpaduan dan kerjasama dalam organisasi.
Antara acara utama majlis ini termasuklah penyerahan sijil penghargaan kepada Pasukan Futsal PACSU Bukit Aman yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam kejohanan baru-baru ini. Penghargaan ini adalah tanda sokongan dan pengiktirafan atas usaha gigih pasukan dalam mengharumkan nama PACSU Bukit Aman di Sukan Peringkat PACSU antara Cawangan.
Selain itu, satu acara penyerahan cenderahati juga diadakan sebagai tanda penghormatan kepada Saudari Suhaili, bekas ahli jawatankuasa sesi 2021-2024 yang telah berpindah ke Kontinjen Negeri Sembilan. Pemberian ini adalah sebagai tanda terima kasih atas sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang perkhidmatan di PACSU Bukit Aman.
Majlis ini berakhir dengan suasana penuh ceria dan keakraban, di mana semua yang hadir berpeluang untuk berinteraksi dan beramah mesra. Majlis seperti ini diharapkan dapat terus memperkukuhkan hubungan antara ahli jawatankuasa, anggota, dan seluruh keluarga besar PACSU Bukit Aman, sekaligus mewujudkan sebuah organisasi yang lebih mantap dan bersatu padu.
PACSU Bukit Aman berharap agar lebih banyak acara seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang, sebagai platform untuk memperkuat silaturahim serta semangat kekeluargaan dalam kalangan ahlinya.