PULAPOL KL, 27 JUN 2024 – Barisan AJK dan ahli PACSU Cawangan Bukit Aman telah menghadiri Majlis Perhimpunan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia Ke-16 bersama YDH Ketua Polis Negara, sempena Peringatan Hari Polis ke-217 tahun 2024.
Pada tahun ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah dipilih menjadi tuan rumah bagi menguruskan Majlis Perhimpunan ini. Majlis yang diadakan di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dan yang dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, YDH Dato’ Sri Ayob Khan Bin Mydin Pitchay bersama Barisan Pengarah PDRM, Presiden CUEPACS, YDH Dato’ Hj Adnan Bin Mat, Presiden PACSU Malaysia, Encik Anuar Bin Mamat bersama Barisan Pegawai Kanan PACSU. Majlis perhimpunan ini dapat menghimpunkan seramai 300 pegawai awam dari seluruh ahli dari semua Cawangan PACSU, SPOCSU, dan SPACSU.
Timbalan KPN sempat menasihatkan pegawai awam untuk membudayakan integriti dan berkeperibadian mulia dalam penugasan harian demi menjaga nama baik Pasukan.
“Sebagai entiti penting dalam PDRM, tuan-tuan dan puan-puan membawa nama, imej, dan maruah PDRM di mana jua berada. Oleh itu, pastikan keperibadian kita bertunjangkan disiplin tinggi, integriti, serta keikhlasan dalam melaksanakan tugas,” katanya.
Beliau juga menyeru warga Pegawai Awam PDRM untuk kekal setia dan berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan serta kepakaran demi penyampaian perkhidmatan yang cekap, profesional, dan berkesan.
Seramai 17 ahli PACSU Cawangan Bukit Aman telah menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Razarudin Bin Husain , yang disampaikan oleh YDH Timbalan KPN di atas mutu kerja cemerlang yang dipamerkan selama ini.
Tahniah diucapkan kepada semua ahli PACSU Cawangan Bukit Aman yang menerima sijil penghargaan dan kepada semua yang hadir bagi menjayakan majlis ini.