PACSU CAWANGAN PERAK MENGHADIRI PERHIMPUNAN PEGAWAI AWAM BERSAMA KETUA POLIS NEGARA SEMPENA SAMBUTAN HARI POLIS KE-217

Kuala Lumpur, 27 Jun 2024 – Sempena Perhimpunan Pegawai Awam Pasukan Bersama Ketua Polis Negara dan Sambutan Hari Polis Ke-217, Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay telah menzahirkan rasa penghargaan serta terima kasih beliau kepada semua Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam ucapan beliau yang mewakili Ketua Polis Negara dalam majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, “Seiring dengan sambutan Hari Polis ke-217 pada tahun ini, kami warga polis amat menghargai dan berterima kasih kepada sekalian warga Pegawai Awam PDRM atas segala jasa dan pengorbanan dalam memenuhi keperluan penugasan yang amat luas dan sering terikat dengan kekangan masa yang mendadak”.

“Warga Pegawai Awam PDRM merupakan tonggak utuh yang menyokong dan menjadi penggerak PDRM dalam merealisasikan visi serta misi Pasukan, melaksanakan peranan juga tanggungjawab dengan berkesan”,

Perhimpunan Pegawai Awam PDRM merupakan acara tahunan menjelang Hari Polis setiap tahun dan merupakan salah satu medium untuk membolehkan Pucuk Pimpinan Pasukan bersua muka dengan para pegawai awam yang bertugas di seluruh kontinjen serta formasi PDRM.

Lebih bermakna lagi, perhimpunan turut dihadiri oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Dato’ Dr. Hj. Adnan Mat yang merupakan seorang tokoh terkemuka penjawat awam di tanah air.

Turut hadir, barisan Pengarah PDRM, barisan Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri, Ketua Urus Setia Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, ACP Rahmat Ariffin, Presiden Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia, Encik Anuar Mamat, Presiden Kesatuan Kakitangan Pegawai Awam Polis Sarawak, Encik Sudarmazi Joli serta Presiden Kesatuan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Polis Sabah, Encik Mohd Syukri Tahir.

IMG-20240628-WA0062

,