Terengganu : Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Terengganu dan Kelantan telah menjalankan kerjasama strategik dengan PERKESO Negeri Terengganu bagi meningkatkan keistimewaan dan perlindungan keselamatan kepada ahli kesatuan sekerja dalam menghadapi cabaran globalisasi. Sehubungan itu, satu taklimat berkaitan perkara di atas telah diadakan sebagaimana ketetapan berikut:
Tarikh : 31 Julai 2023 [Isnin]
Masa : 9.00 pagi – 1.00 tengahari
Tempat : Dewan Redang,
Ting. 5 Wisma PERKESO Terengganu,
Jalan Air Jernih, Kuala Terengganu,
Peserta : 60 orang (Kesatuan Sekerja Terengganu
Taklimat ini telah dihadiri oleh Pengerusi PACSU Cawangan Terengganu Sdra Saufian Bin Ngah dan Setiausaha PACSU Cawangan Terengganu Sdri Norshahira Bt. Muhammad. Antara perkara yang disentuh adalah perkara berkaitan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah (Akta 838) yang telah diperkenalkan dan diluluskan oleh Parlimen dan telah berkuatkuasa pada 1 Disember 2022.
Secara ringkasnya, melalui akta ini suri rumah yang berumur di bawah 55 tahun adalah layak untuk mendapat perlindungan Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR). Suri rumah yang dimaksudkan ini tidaklah terhad kepada suri rumah tidak bekerja yang menguruskan rumah tangga sepenuh masa, sebaliknya meliputi semua golongan wanita yang menguruskan aktiviti rumah tangga termasuk wanita berkerjaya dan mereka yang menguruskan rumah tangga separuh masa.
Perlindungan yang disediakan adalah meliputi semua urusan dan aktiviti pengurusan melalui perlindungan bencana domestik yang melibatkan Hilang Upaya dan Keilatan. Faedah yang disediakan adalah kos rawatan perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Pencen Penakat, Elaun Keuzuran, Elaun Layanan Sentiasa dan Faedah Pengurusan Mayat. Kesemua manfaat adalah berdasarkan kepada caruman bernilai RM120.00 setahun.